MUTIARA CINTA KASIH DALAM PERKAWINAN
Dipetik Dari Sabdaan Rasulullah S.A.W & Para Sahabat R.A.
A. Fitrah Manusia Ingin Bersama:
-
Orang mukmin adalah saudara orang mukmin, sebab itu tidak halal orang mukmin membeli atas belian saudaranya dan tiada pula meminang atas pinangan saudaranya, kecuali jika telah dibiarkannya.
-
Lihatlah perempuan yang akan kamu pinang itu, kerana yang demikian itu lebih patut bagimu, supaya ada persesuaian dan kesepakatan antara kamu berdua.
-
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari kemudian, maka janganlah ia berkhalwat (bersembunyi diri) dengan seorang perempuan dengan tiada disertai muhrimnya, maka yang ketiganya ialah syaitan.
-
Maka hendaklah kamu nikahi perempuan yang baik untukmu, dua, tiga atau empat orang. Jika kamu takut untuk tidak berlaku adil, maka hendaklah seorang sahaja.
-
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
-
Mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka.
-
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.
-
Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluargamu, dan aku (Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam) adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang tidak tahu budi.
B. Pemberian Nafkah Adalah Sedekah:
-
Sesungguhnya di antara sekian banyak cemburu, ada cemburu yang dibenci Allah Azza Wajjala, iaitu cemburu lelaki terhadap isterinya tanpa alasan.
-
Tiga orang telah diharamkan bagi mereka masuk syurga, iaitu orang yang selamanya peminum arak, orang yang mendurhakai kedua orang tuanya, dan orang yang rela kehormatan isterinya diganggu orang lain.
-
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikul beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.
-
Satu dinar wang yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar wang yang kamu belanjakan untuk membebaskan budak, satu dinar wang yang kamu sedekahkan untuk orang miskin, satu dinar yang kamu belanjakan untuk keluargamu, maka yang paling besar pahalanya adalah yang kamu belanjakan untuk keluargamu.
-
Hak isteri terhadap suami ialah, memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, jangan memukul wajahnya atau menghinanya dan janganlah menjauhinya kecuali dalam rumah.
-
Dosa besar seseorang yang menelantarkan orang-orang yang menjadi tanggungannya.
-
Sesungguhnya hak isteri-isterimu atas kamu adalah mendapatkan perlakuan baik dari kamu sekalian dalam urusan pakaian dan makan minum.
-
Jika seseorang menafkahi keluarganya dengan mengharapkan pahala dari Allah, maka yang demikian itu adalah sedekah baginya.
C. Keindahan Adalah Impian Semua Insan:
-
Cucilah pakaianmu, potonglah rambutmu, gosoklah gigimu, perindahlah dirimu, dan jagalah kebersihanmu. Sesungguhnya Bani Israil tidak melakukan semuanya itu sehingga isteri-isteri mereka berzina.
-
Sepuluh hal termasuk fitrah, iaitu merapikan kumis, memelihara janggut, menggosok gigi, membersihkan lubang hidung, memotong kuku, mencuci ruas jari-jari, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan mencuci dengan air.
-
Orang yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat ialah suami dan isteri yang bersenggama, lalu masing-masing menceritakan rahsia-rahsianya itu.
-
"Dan bergaullah dengan mereka (dengan isteri-isterimu) dengan pergaulan yang baik.
-
Wanita-wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah dan memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.
-
"Isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab atas mereka yang dipimpinnya.
-
Ibu adalah sekolah, bila anda menyiapkannya, anda menyiapkan bangsa yang berakar baik.
-
Dan hendaklah kamu berikan kepada isteri-isterimu, iaitu bagi orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang miskin menurut kemampuannya pula, iaitu pemberian menurut yang makruf.
-
Isteri yang paling besar berkahnya ialah yang paling ringan tanggungannya.
-
Sebaik-baik wanita adalah yang apabila diberi sesuatu dia bersyukur dan bila tidak diberi apa-apa dia bersabar, yang menyenangkan hatimu bila kamu melihatnya dan mentaatimu bila kamu menyuruhnya.
-
Bila isteri-isterimu telah suci dari haid, maka campurilah mereka itu ditempat yang diperintahkan Allah kepadamu.
-
Demi yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya kemudian ditolaknya, kecuali yang di langit murka kepada isterinya itu sampai suami redha terhadapnya.
-
"Isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, datangilah ladangmu itu dari jalan yang engkau sukai.
-
Apabila engkau menggauli isterimu hendaklah berselimut, jangan bertelanjang seperti telanjangnya binatang.
-
Ada tiga orang yang berhak mendapatkan pertolongan Allah: (a) Orang yang berjuang di jalan Allah, (b) Hamba sahaya yang berniat akan menebus dirinya, (c) Orang yang bernikah untuk melindungi kehormatannya.
-
Wahai para pemuda, barangsiapa yang telah mampu kahwin, maka hendaklah dia kahwin, sebab kahwin akan lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan.
-
Kahwinlah dengan perempuan yang kamu cintai dan yang subur, kerana aku (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam) akan merasa bangga dengan banyaknya jumlah umatku dari nabi-nabi yang lain di hari kiamat.
-
Kahwinkanlah seorang wanita itu dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kalau ia mencintainya ia akan menghormatinya, dan kalau tidak mencintainya, ia tidak akan menganiaya.
-
Wanita itu dikahwini kerana empat sebab, kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, pasti kamu akan berbahagia.
-
Wanita yang kamu khuatirkan durhakanya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk menyusahkannya.
-
Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya, janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Hendaklah mereka menutup kain tudungnya ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suaminya.
-
Janganlah isteri mengerjakan puasa sunat kecuali dengan izin suaminya.
-
Apabila kamu melihat wanita lalu tertarik hendaklah kamu mendatangi isterimu sendiri.
-
Apabila di antara kamu ada yang berjimak dengan isterinya hendaknya dilakukan dengan kesungguhan hati. Dan apabila telah selesai hajatnya, sedangkan hajat isterinya belum selesai, hendaklah dia sabar menunggu sampai hajat isterinya selesai.
-
Cukup berat dosa seseorang yang membiarkan siapa-siapa yang menjadi tanggungannya.
-
Sesungguhnya Allah akan menanyakan kepada tiap-tiap pemimpin terhadap mereka yang dipimpinnya, apakah dipeliharanya atau disia-siakannya, tidak terkecuali berkaitan anggota keluarganya.
-
Janganlah hendaknya seseorang menggauli isteri-isterinya sebagaimana unta atau keledai, tetapi hendaklah bercumbu dan bercengkerama terlebih dahulu.
-
Dan bergaullah dengan mereka isteri-isterimu secara baik. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
E. Waspadalah Terhadap Kaum Wanita:
Janganlah hendaknya seorang lelaki mukmin membenci isterinya yang beriman. Bila ada perangai yang tidak disukai dia pasti suka dengan perangai yang lain.
Berwaspadalah (saling mewasiati) pada wanita dengan baik-baik, sesungguhnya mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Dan sesungguhnya yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang paling atas. Bila kamu akan meluruskannya bererti mematahkannya, bila kamu membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Maka berwasiatlah pada wanita itu dengan baik-baik.
Wanita yang tidak tergolong solehah mereka yang membangkang kerana merasa diri berdiri di atas dataran tinggi ini merupakan cerminan jiwanya. Membangkang dengan merasa dirinya paling tinggi dan melebihi siapa sahaja, sehingga dengan sesukanya dia menentang dan durhaka.
Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari.
Hubungan suami dan isteri itu berasaskan kepada tiga 3 sendi: (a).Kecenderungan dan perasaan tenteram. (b).Saling mencintai. (c).Saling mengasihi dan menyayangi.
Dunia ini laksana perhiasan dan sebaik-baiknya perhiasan adalah isteri yang solehah.
Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan bila bersendirian dengan suaminya, ia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya.
Aku (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam) pernah melihat neraka. Tiba-tiba kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, iaitu mereka yang tidak tahu berterima kasih kepada suaminya.
F. Tanggung Jawab Suami Isteri:
Hak suami atas isterinya ialah: (a).Isteri tidak boleh meninggalkan tempat tidur suami. (b).Berlaku baik dalam melayani suaminya. (c).Taat kepada perintahnya. (d).Tidak keluar dari rumah sebelum mendapat izinnya. (e).Tidak memasukkan seorang lelaki yang dibenci oleh suaminya ke dalam rumahnya.
Engkau tiada memberikan belanja demi mencari keredhaan Allah, melainkan engkau pasti diberi pahala, sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu.
Siapapun isteri yang mati, sedangkan suaminya penuh keredhaan terhadap dirinya, nescaya ia akan masuk syurga.
Dan janganlah iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kurnia dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Barangsiapa yang mempunyai dua orang isteri,lalu ia lebih condong kepada salah satunya, maka kelak pada hari kiamat ia akan datang dengan miring bahunya.
Bila seseorang di antara kamu telah bersenggama dengan isterinya, kemudian ia ingin mengulanginya lagi, hendaklah dia berwudhuk. Kerana yang demikian itu akan lebih giat untuk kamu melakukannya.
Orang mukmin yang paling sempurna dalam beriman ialah mereka yang paling baik budi pekertinya. Dan sebaik-baik kamu adalah mereka yang terbaik pergaulannya terhadap isterinya.
Bertakwalah kamu kepada Allah dalam masalah wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan mempergunakan kalimah Allah dan kamu telah menghalalkan farajnya melalui amanah Allah.
Hak suami atas isteri: (a).Isteri selalu memperlihatkan wajah yang manis. (b).Isteri sentiasa mentaati perintah suami atau nasihatnya yang tidak bertentangan dengan ajaran agama. (c).Isteri setia memelihara harta kekayaan milik suaminya baik ketika suami ada di rumah atau tidak. (d).Isteri sentiasa memelihara dirinya. (e).Isteri tidak boleh meninggalkan rumah tanpa izin suaminya. (f).Isteri tidak boleh memberikan sesuatu kepada orang lain kecuali atas izin suaminya. (g).Isteri harus menghormati suaminya sesuai dengan kemampuannya. (h).Isteri harus menghormati keluarga suaminya sebagaimana ia menghormati keluarganya sendiri. (i).Isteri harus menghormati orang yang dihormati suaminya. (j).Isteri juga mempunyai hak untuk menasihati suaminya, baik nasihatnya itu akan dipakainya atau tidak.
Hak isteri atas suami: (a).Suami harus bersikap sebagai kepala rumah-tangga. (b).Suami wajib memberi nafkah kepada isterinya, baik nafkah zahir dan juga nafkah batin. (c).Suami harus memelihara nama baik isterinya. (d).Suami tidak boleh berkata kasar yang menyinggung perasaan isterinya. (e).Suami tidak meninggalkan rumah, isteri dan anak-anaknya kecuali kerana alasan yang dapat dibenarkan. (f).Menghormati keluarga isterinya sebagaimana ia menghormati keluarganya sendiri. (g).Suami sentiasa bersikap terbuka terhadap isterinya. (h).Segala sesuatu penghasilan usaha yang didapatkan harus dianggap hasil usaha bersama. (i).Suami harus mengizinkan isterinya keluar rumah untuk keperluan yang tidak bertentangan dengan agama. (j).Suami tidak boleh menyuruh isterinya melakukan sesuatu perbuatan yang melanggar ajaran agama. (k).Suami tidak boleh menyakiti isterinya, baik zahir mahu pun batin. (l).Dalam hal-hal tertentu, suami harus bermusyawarah atau menerima nasihat isterinya. (m).Suami tidak boleh terlalu mudah mengucapkan kata-kata cerai kepada isterinya.
Andaikata aku (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam) diperkenankan memperbolehkan seseorang sujud kepada orang lain, nescaya aku menyuruh wanita (isteri) sujud kepada suaminya.
Apabila seorang hamba Allah itu telah nikah atau kahwin, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh agama, maka takutlah ia kepada Allah akan separuhnya lagi.
Perempuan hitam yang subur lebih menyenangkan bagiku daripada perempuan cantik yang mandul.
Rumahku adalah syurgaku.
Berbuat baiklah kamu dengan isterimu, kerana mereka adalah pembantumu yang terdekat.
Dihiasi makhluk manusia (lelaki) dengan cinta syahwat terhadap wanita.
Nikah itu adalah sunnahku (sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam) dan barangsiapa yang tidak melakukan sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.
Jauhilah dan hindarkanlah olehmu rumput muda yang tumbuh di atas tahi kerbau. Apa itu ya Rasulullah? Perempuan cantik dari keturunan orang jahat-jahat.
Alangkah baiknya bila engkau kahwin dengan perawan, dia akan menjadi kawan untuk bersenda-gurau.
Suami yang baik itu ialah: (a).Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga. (b).Mencari nafkah yang jujur dan berhasil. (c).Pasangan ideal dalam erti: {c1}dapat memberikan isteri kebebasan berfikir dan memberi pendapat {c2}menerima kelebihan dan kekurangan isteri {c3}dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu {c4}dapat menjaga kewibawaan isteri {c5}dapat membimbing isteri ke jalan yang benar {c 6}dapat menghormati dan menyayangi sanak-keluarga isteri. (d).Pasangan seks yang ideal dan memuaskan bagi isteri. (e).Ayah yang baik dan kasih kepada anak-anaknya.
Wanita yang keji diperuntukkan bagi lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan bagi wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula.
Isteri yang baik itu ialah: (a).Tidak suka menuntut perkara-perkara yang memberatkan suaminya. (b).Tidak suka berhias diri kemudian menunjukkannya kepada lelaki yang bukan muhrimnya, dan dia berhias hanya semata-mata untuk suaminya. (c).Menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela. (d).Tidak meninggikan suara melebihi suara suaminya, dan tidak terlalu banyak bercakap tentang hal-hal yang kurang bermanfaat, seperti mengumpat, mencaci orang lain dan sebagainya. (e).Tidak keluar rumah tanpa izin suaminya. (f).Menjalankan kewajipannya terhadap agama Islam. (g).Tidak mudah menuntut cerai atau talak apabila terjadi perselisihan. (h).Tidak mudah cepat cemburu dengan sesuatu yang tidak pasti. (i).Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah.
Suami yang layak menjadi pemimpin rumah-tangga itu ialah: (a).Mempunyai akal fikiran yang sempurna. (b).Mempunyai tubuh badan yang sempurna. (c).Mempunyai pengetahuan agama yang sempurna. (d).Berkewajipan membelanjakan sebahagian hartanya.
Ciri-ciri dari suami yang soleh itu ialah: (a).Mentaati Allah dan sunnah RasulNya. (b).Rumahtangga yang didirikan semata-mata kerana Allah. (c).Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya. (d).Menjaga hati dan perasaan isteri. (e).Sentiasa bertolak-ansur dan tidak meminta sesuatu di luar kemampuan isteri. (f).Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan. (g).Tidak mengeji isteri di hadapan orang ramai mahupun memuji wanita lain di hadapannya. (h).Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka. (i).Tidak terlalu mengikut kemahuan isteri. (j).Memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kadar kemampuannya. (k).Menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk isteri dan anak-anaknya. (l).Bertanggungjawab mendidik akhlak isteri dan anak-anak selaras dengan ajaran Islam. (m).Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka. (n).Memberikan kasih-sayang dan berkorban apa sahaja demi kepentingan dan kebahagiaan bersama.
Sepuluh 10 nasihat untuk para suami dalam memahami hubungannya dengan isteri: (a).Hendaklah bersikap tegas dan lemah-lembut terhadap isteri. (b).Hendaklah memberikan pujian terhadap isteri. (c).Menentukan batas tanggung-jawab antara isteri dan suami. (d).Hindarkan terlalu banyak mengkritik isteri. (e).Memperhatikan sesuatu yang romantik. (f).Memahami keinginan isteri yang ingin selalu di samping suami. (g).Memberikan perasaan aman dalam kehidupan isteri. (h).Memahami gejolak jiwa isteri. (i).Membina kerjasama yang baik. (j).Berusaha untuk memenuhi keperluan peribadi isteri.
Berilah mas kahwin kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan.
Apabila seorang suami terlalu marah kepada isterinya, sebaiknya segeralah mengambil wudhuk dan solat sunat dua 2 rakaat.
Di antara cara menggauli wanita secara baik ialah: (a).Sentiasa berbincang dengan isteri dalam hal rumahtangga. (b).Mengajak isteri bergurau-senda. (c).Memaafkan kesalahan isteri, apalagi terhadap isteri yang mempunyai budi-pekerti mulia. (d).Menunjukkan keindahan dan kebaikan kerana isteri juga menyenangi apa yang disenangi oleh suaminya. (e).Membantu isteri dalam urusan rumahtangga. (f).Tidak membuka rahsia isteri atau memperkatakannya di hadapan masyarakat umum. (g).Melindungi isteri dan keluarga dari api neraka.
Diedit Oleh : Adib Asrori Al Jaisy Ibnu Yunan